Wednesday, May 15, 2024

 

SEJARAH PENUBUHAN

Penubuhan KJLJD berkait rapat dengan kehadiran Royal Electrical and Mechanical Engineering Corps (REME) semasa Tentera Darat British berada di Malaya sebelum Perang Dunia Kedua. Apabila diimbas kembali sejarah penubuhan REME Corps, terdapat persamaan di dalam bentuk penstrukturan organisasi dan tanggungjawab yang diberikan kepada KJLJD di dalam Tentera Darat Malaysia. Oleh itu, wajar diimbas kembali bagaimana tertubuhnya REME Corps di dalam Tentera Darat British yang juga membawa kepada tertubuhnya KJLJD di Malaysia dan organisasi yang serupa di dalam angkatan tentera Negara Komanwel.


PENUBUHAN AWAL

Semasa membuat persiapan untuk menyambut kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, operasi melawan komunis juga sedang memuncak. Keadaan ini telah menyebabkan wujudnya keperluan bagi menyusun semula konsep bantuan logistik bagi Tentera Persekutuan (Federation Army) yang baru saja ditubuhkan. Bagi meningkatkan keupayaannya, 22 Infantri Woksyop di Kluang dibubarkan dan anggotanya diserapkan ke unit-unit yang baru ditubuhkan. Woksyop di Ipoh juga dibubarkan dan tanggungjawabnya diambil alih oleh 21 Infantri   Woksyop di Taiping. Begitu juga 42 Base Workshop di Singapura turut dibubarkan. Justeru, ASC yang terdiri daripada pasukan Perubatan, Bekalan, Pengangkutan serta Jurutera Letrik dan Jentera telah ditubuhkan pada 15 Julai 1957. Tarikh ini telah diterima sebagai tarikh penubuhan KJLJD.

SELEPAS PENUBUHAN MALAYSIA DAN KONFRONTASI

Dengan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 dan ancaman konfrontasi antara Malaysia dengan Indonesia, keperluan bantuan dan kawasan tanggungjawab telah diperluaskan meliputi Sabah dan Sarawak. Ekoran daripada itu, empat buah woksyop baru telah ditubuhkan, dua buah di semenanjung, sebuah di Sabah dan sebuah di Sarawak. 5 Woksyop ditubuhkan di REME School, Batu Kentomen pada 15 Mac 1964 yang diketuai oleh Mej Idrus Abdul Rahman. Unit ini kemudiannya dipindahkan ke Jubilee Hall Pandungan Road, Kuching pada 28 April 1964 dengan sebuah detasmen di Tawau, Sabah. Pada 2 Mac 1965, Markas 5 Woksyop telah berpindah ke Kem Tanjung Batu, Tawau dengan meninggalkan sebuah detasmen di Central Road, Kuching yang kemudiannya menjadi nukleus 6 Woksyop.

ERA PEMBANGUNAN DAN PERMODENAN

KJLJD terus berkembang pesat seiring dengan pembangunan dan permodenan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Unit-unit baru Woksyop Divisyen, Woksyop Briged dan Detasmen Bantuan Kecil (DBK) telah ditubuhkan bagi memberi bantuan yang berkesan kepada setiap formasi. Apabila ATM memperkenalkan perkhidmatan tunggal pada tahun 1989, KJLJD dipertanggungjawabkan untuk memberikan bantuan kejuruteraan kepada unit-unit TD sahaja. Apabila PUTD ditubuhkan pada 11 Mac 1995, peranan dan bantuan KJLJD turut diberikan untuk menyelenggarakan pesawat-pesawat yang digunakan oleh PUTD.

PENGANUGERAHAN GELARAN DIRAJA

KJLJD telah dianugerahkan gelaran DiRaja oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 7 Jun 1997 setelah 40 tahun penubuhannya. Ia merupakan satu detik yang bersejarah buat semua warga kor kerana ia adalah satu pengiktirafan di atas semua usaha dan perkhidmatan yang dicurahkan oleh semua lapisan kor kepada TD. Istiadat yang gilang-gemilang itu diadakan di Stadium Merdeka bersempena HUT Keputeraan Baginda yang ke 75 tahun. Watikah gelaran DiRaja tersebut telah diserahkan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada Pengerusi KJLJD ketika itu, Mej Jen Dato’ Abdul Rahman bin Daud.