BRIGEDIER JENERAL Dato' Ts. HAJI AHMAD JAIDI BIN ALI
DBNS PAT DPT KAT KMN PJM PKN PPS PPA MM (UM) MSoc DS (UKM) Dip Mech Eng (UTM)
Dip Strat & Def Studies (UM) mpat psc LAE
Brig Jen Dato' Ts. Hj Ahmad Jaidi bin Ali dilahirkan di Kuala Langat, Selangor pada 5 Februari 1967. Beliau telah memulakan kerjaya ketenteraannya di dalam Angkatan Tentera Malaysia pada 30 Julai 1988 dan telah ditauliahkan dalam Tugas Am di dalam Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja.
Kerjaya beliau sebagai seorang Jurutera Pemeriksaan Kapal Terbang bermula pada tahun 1995 setelah beliau menamatkan kursus Pegawai Kejuruteraan Jentera dan Elektronik Kapal Terbang Siri 09/95 di Institut Teknikal Tentera Udara Diraja Malaysia. Beliau seterusnya menjalani latihan Vacumm Sweeper Operation Maintenance on J-7000 di Amerika Syarikat pada 1997.
Di sepanjang perkhidmatan, beliau telah diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan penting di dalam Tentera Darat Malaysia (TDM) sebagai staf dan pemerintah. Antara jawatan yang pernah beliau sandang adalah Pegawai Staf 1 Kejuruteraan di Markas Tentera Darat, Jabatan Arah Pasukan Udara Tentera Darat, Pegawai Memerintah di 71 Woksyop Divisyen, Pegawai Staf 1 JLJ di Markas 1 Divisyen, Komandan di Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED), Pegawai Memerintah di 21 Kumpulan Logistik Grup Gerak Khas dan Ketua Kumpulan JLJ di Markas Pemerintahan Logistik Tentera Darat. Brig Jen Ts. Hj Ahmad Jaidi bin Ali telah dilantik sebagai Pengarah Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja pada 2 Januari 2024.
Brig Jen Ts. Hj Ahmad Jaidi bin Ali telah menghadiri pelbagai kursus profesional dan ketenteraan di dalam dan luar negara. Antaranya adalah kursus Aviation Maintenance Manager Course di Avion Centre, Amerika Syarikat, Technical Airworthiness Proses and Air Legislation & Airworthiness Requirement di Malaysian Aviation Training Academy (MATA). Beliau mempunyai kelulusan Diploma Strategik dan Pertahanan di Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 1992, Diploma Aviation Maintenance di Aviation Centre, Amerika Syarikat pada tahun 2002, Diploma Strategik dan Pertahanan di Universiti Malaya pada tahun 2007, Sarjana Pengurusan di Universiti Malaya pada tahun 2012 dan Sarjana Sains Sosial (Kajian Pertahanan) di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2016.
Brig Jen Ts. Hj Ahmad Jaidi bin Ali telah mendirikan rumah tangga bersama Puan Hjh Noraida binti Wagiman dan dikurniakan tiga orang anak iaitu seorang perempuan serta dua orang lelaki.